Aku berbisik dari ruang hati, aku berlagu dari kotak jiwa, aku meriwayat dari lembar sejarah, aku berpesan dari corong insan, aku berkasih dari naluri, aku merintih dari hujung doa, aku bukan sesiapa, cuma seorang insan yg mohon dicinta pada landas bahagia dan setia...aku sekadar Wanita , sebahagian tulang rusuk Adam, Yg dekat di jiwa untuk dicinta dan dekat dihati untuk dikasihi ....

PUISI

 Aduhai Ayah Aduhai Ibu

Tangis pertama itu
Persis segunung anugerah,terlimpah,tumpah
Pada tanganmu
Warna-warni hari muka
Kau percikkan pada kanvas itu
Hitam putih fitrah manusia.
Bila-bila sahaja
Wahai ayah dan ibu
Anakmu kehilangan restu
Jangan kau jadikan usia pembunuh akrab
Jangan kau jadikan biaya membeban harap
Aduhai ayah,
Aduhai ibu
Mana lagi tangan belaimu
Memupuk tabah mengupas gundah
Merintis arah
Hilangkah sudah gemersik tangis pertama itu
Bila detik membiak waktu
Dan aku anakmu...
Mengharap-harap segenggam semangat
Ringgit, keringatmu mendorong hasrat.
Ayah dan ibu
Dengarkan rayu pilu tidak berlagu
Bahawa aku anakmu ingin mengemis restu
Demi mengejar ilmu, menjulang maju
Hadiahkan kepadaku segugus ihsan
Sewajar perhatian
Aduhai ayah aduhai ibu
Marilah kita sambut lambaian masa depan
Marilah kita sahut panggilan wawasan
Justeru hidup ini satu perjuangan
Jangan biarkan aku hanyut di laut kehidupan
Aku tidak rela tewas di tengah kealpaan
Aduhai ayah bimbinglah aku
Aduhai ibu kupohon restumu
Aduhai ayah...
Aduhai ibu...

Catatan :  Sajak ini merupakan hasil tulisan guru sasteraku, cikgu Ghazali Lateh yang kini bergelar Dr.Ghazali. Ia telah aku persembahkan di dalam satu majlis di SMKTD pada tahun 1994. Persembahan sajak ini turut diiringi penyanyi latar yg juga terdiri drpd rakan2 sekelasku. Tapi malang sekali, tiada gambar yg dapat kami rakamkan. Mungkin pihak sekolah ada menyimpannya.  Di atas persembahan ku inilah juga, seorang pegawai kerajaan telah menjemputku membacakan puisi di dalam majlis di jabatannya dengan sedikit imbuhan.  Pengalaman yang tak dapat aku lupakan.  Terima kasih kepada Dr.Ghazali dan Cikgu Basri yang banyak membimbingku dulu.

Tiada ulasan: