Aku berbisik dari ruang hati, aku berlagu dari kotak jiwa, aku meriwayat dari lembar sejarah, aku berpesan dari corong insan, aku berkasih dari naluri, aku merintih dari hujung doa, aku bukan sesiapa, cuma seorang insan yg mohon dicinta pada landas bahagia dan setia...aku sekadar Wanita , sebahagian tulang rusuk Adam, Yg dekat di jiwa untuk dicinta dan dekat dihati untuk dikasihi ....

PENDERMAAN ORGAN

Mengikis stigma isu derma organ manusia

Oleh Hafizah Iszahanid

Islam tetap beri kebenaran selagi tidak memudaratkan kesihatan, selaras hukum syarak

ULAMA dan fuqaha Islam sudah lama membincang dan meneliti isu pendermaan organ secara mendalam berdasarkan nas-nas yang ditentukan hukum syarak. Di Malaysia, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang kali pertama bersidang pada Jun 1970 sudah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup dibenarkan dengan mengikut syarat tertentu. Begitu juga, fatwa di Singapura memutuskan pemindahan organ dalam keadaan darurat dibenarkan.

Majma Figh al-Islami pada pertemuan keempat mereka di Jeddah 11 Februari 1988 juga memutuskan bahawa memindahkan anggota si mati kepada yang hidup dibolehkan dengan syarat mendapat keizinan si mati atau warisnya.

Ini bermakna, sudah tiada keraguan mengenai kebenaran pendermaan organ dari perspektif Islam. Malah, sejak zaman Rasulullah SAW, konsep pendermaan organ sudah diamalkan jika pun tidak secanggih hari ini.

Pada zaman Nabi Muhamad SAW ketika Perang Badar, sudah wujud pemindahan tulang membabitkan mangsa yang cedera dalam peperangan, selain sudah ada pemindahan kornea.

Selain tidak perlu lagi timbul soal Islam tidak membenarkan pendermaan organ, kepercayaan masyarakat Islam bahawa apabila meninggal dunia, setiap organ dan tubuh mesti lengkap dibawa ketika menemui Tuhan atas dasar tubuh kita dipinjam daripada Allah juga perlu dihakis.

"Keraguan dan kesamaran yang masih wujud di kalangan sebahagian masyarakat mengenai hukum dan konsep pendermaan organ menyebabkan umat Islam tidak mahu menderma organ. Sedangkan kalau kita lihat senarai penerima organ pula, sebahagian besar adalah orang Islam," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Akibatnya, ketakutan, syak wasangka dan kurang maklumat menjadi faktor terbesar kenapa umat Islam di negara ini enggan menderma organ. Walaupun pendermaan organ dibolehkan mengikut Islam, kebanyakan orang Islam masih enggan berbuat demikian.

Kajian Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mendapati 56.3 peratus responden sebenarnya takut untuk menderma organ, 17.8 peratus pula tidak tahu mengenai pendermaan organ dan 5.2 peratus mendakwa Islam tidak membenarkan pendermaan organ.

Hakikat ini diakui Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, sedangkan isu pendermaan organ dari sudut pandangan hukum sudah dibincangkan sejak 39 tahun lulu dan keputusan mengenainya sudah pun dibuat.

"Selagi ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penderma atau penerima organ, tiada alternatif lain dalam menyelamatkan nyawa pesakit, ikhlas kerana Allah dan mendapat izin penderma dan warisnya, Islam tidak pernah mengatakan tidak kepada pendermaan organ.
"Sayangnya, masih ramai umat Islam yang beranggapan Islam tidak membenarkan pendermaan organ, sedangkan fakta sebenarnya mereka sendiri takut hendak berbuat demikian," katanya.

Mengikut statistik 2005 yang dikeluarkan Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC), Hospital Kuala Lumpur, penderma organ di kalangan orang Islam hanya lapan peratus berbanding 64 peratus (Cina) dan 22 peratus (India).

Keperluan untuk mendapatkan organ baru, termasuk di kalangan umat Islam agak mendesak. Sebagai contoh, setiap tahun dianggarkan 5,000 orang didiagnosis dengan masalah ginjal dan 19,000 pesakit menggunakan mesin dialisis. Daripada jumlah itu, 75 peratus memerlukan ginjal baru.

Sehingga kini, senarai penerima ginjal terlalu panjang, sekitar 6,000 orang. Jika dilihat senarai penerima organ lain pula seperti paru-paru dan injap jantung, jumlahnya lebih panjang.

Seseorang itu boleh menjadi pengikrar untuk menderma organ sebaik berusia 18 tahun. Bagaimanapun, daripada 17 juta warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, hanya 134,596 orang atau 4.9 peratus berdaftar sebagai pengikrar.

Di Malaysia, isu pendermaan organ mula diberi perhatian pada 1970 tetapi di negara Islam lain, derma organ sudah lama difatwakan. Pada 1952, misalnya Mufti Besar Mesir, Syeikh Hasanin Makhluf ketika itu mengharuskan pemindahan kornea mata.

Pada 1972, Majlis Agama Islam Algeria mengambil langkah lebih jauh dengan mengharuskan pemindahan organ. Setahun kemudian, Mufti Besar Mesir, Syeikh Khater ketika itu mengharuskan pemindahan kulit daripada mayat yang tidak dikenali.

Di Kuwait, pada 1979, Majlis Fatwa memfatwakan harus melakukan pemindahan organ termasuk daripada penderma kardaverik. Pada 1986, Persidangan Ketiga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), memfatwakan kematian otak diterima sebagai kematian.

Islam sebenarnya sangat jelas dalam memberi panduan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam soal pendermaan organ. Namun, sikap umat Islam yang tidak mahu mengambil inisiatif mendalami isu menenggelamkan fakta sebenar.

Misalnya dalam pendermaan organ, Islam menegaskan pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang hidup adalah dibenarkan dan dilakukan di atas pertimbangan berikut;

l Dalam keadaan mendesak dan mustahak bahawa nyawa penerima bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahan itu difikirkan berjaya;

l Dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma sudah dipastikan sebelum organ dipindahkan;

l Tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tiada pembunuhan manusia dan tidak wujud jual beli anggota; dan

l Kebenaran diperoleh daripada penderma jika disebabkan kematian biasa dan kebenaran daripada keluarga jika kematian disebabkan kemalangan.

Sejarah pendermaan organ di Malaysia bermula dengan pemindahan kornea di Hospital Kuala Lumpur pada 1970. Lima tahun kemudian, pemindahan buah pinggang dilakukan di hospital sama membabitkan warga Australia.

Pemindahan hati pula membabitkan penderma hidup bermula di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 1995 sementara di Hospital Selayang dimulakan pada 2002.

Pemindahan jantung pula dilakukan buat pertama kalinya pada 18 Disember 1997. Sehingga kini, 94 pemindahan organ berjaya dilakukan dengan 30 daripadanya membabitkan penderma kardaverik.

Di sebalik semua kejayaan itu, pendermaan organ masih bukan pilihan rawatan yang popular di Malaysia, terutama di kalangan umat Islam.

Sehingga tahun lalu Kementerian Kesihatan merekodkan 14 peratus daripada 126,403 pengikrar adalah umat Islam. Sehingga kini, penderma sebenar yang direkodkan ialah 238 orang iaitu 5.4 peratus daripada jumlah sebenar umat Islam di negara ini.

Ahli Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof Madya Dr Paizah Ismail, berkata apa yang haram di sisi Islam ialah memindahkan mana-mana organ orang hidup yang akan menyebabkan dia kehilangan fungsi asas hidupnya walaupun mungkin tidak mengancam nyawa.

"Persetujuan bersama antara penderma atau warisnya dengan penerima mestilah tidak dikaitkan dengan sebarang bentuk penjualan. Dalam apa cara sekalipun, organ manusia tidak boleh diperdagangkan," katanya.

(Disunting dari akhbar Berita Mingguan- Ahad 15 November 2009 )

KINI PENDERMAAN ORGAN BOLEH MELALUI 0NLINE  :

SILA KLIK http://www.agiftoflife.gov.my/register.php  UTK TINDAKAN LANJUT... SELAMAT MENDERMA...
TAHNIAH BUAT ANDA YG SUDAHPUN MENDAFTAR.

P/S : Dari dulu lagi hati ini terdetik utk membuat wasiat pendermaan organ.  Namun belum berkesempatan. Sebelum mengambil tindakan kita perlulah berbincang serta memaklumkan terutama kpd ibu bapa.  Persepsi orang tua mungkin tidak sama dengan kita, menjadi tanggungjawap kita memperjelaskan kpd mereka. Insyallah, dengan niat ikhlas semata-mata kerana Maha Pencipta, apa yg kita lakukan mendapat keberkatan. Jadi, jagalah tubuh yg kita pinjam ini agar ia dapat dimanfaatkan oleh hamba Allah yg memerlukan.

Tiada ulasan: